Facebook Badge

Thursday, June 26, 2008

2hearz

Di antara Dua Telinga.





Assalamualaikum,

Teringat saya masa saya belajar dahulu.

Ketika itu kami di dalam dewan syarahan. "Sakit apa ni ha?", tanya salah seorang dari kami apabila sejenis ruam yang menjangkiti orang asli di Malaysia ditunjukkan di dalam sebuah persembahan slide oleh pakar kulit di dewan.

"Molluscum Contangiosum!", kata si Rassem, seorang mamat Palestin yang duduk di antara kami yang tahu jawapannya.

"OOOOOOooooooo...", besar sungguh mulut kami ketika itu melopong. Ada juga yang terdiam seribu bahasa sebab tak pernah dengar diagnosis tu.

Professor saya yang pernah berkata di dalam kelas syarahannya.

"Eyes do not see, what the mind doesn't know". Ia bermaksud, mata tidak dapat melihat apa yang minda kita tidak ketahui.

Ia ditujukan untuk kami semua pelajar perubatan. Pada ketika kami melihat satu simptom, satu penyakit, satu ruam, satu kondisi maka, sekiranya otak ini tiada ilmu pengetahuan tentang penyakit itu maka apa yang dilihat itu sekadar satu pandangan kosong sahaja dan tiada ertinya. Tidak lebih dari itu. Kosong.

Teringat pula kisah Long Jaafar di Perak dengan bijih Timah sebagaimana yang Cikgu Kamal iaitu guru Fizik saya dulu pernah bercerita.

Dulu-dulu di Bukit Larut, Long Jaafar dan kawan-kawannya dibesarkan di tanah kelahirannya di Perak. Tiap-tiap hari beliau berjalan dan bermain-main. Satu hari kaki beliau terpijak sebuah batu aneh yang tajam dan melukakan kakinya... "Cis... kurang ajor ko ni batu!", kata si Long Jaafar sambil mencampak batu itu jauh-jauh.

Malah setiap orang kampung saban hari terpijak batu yang aneh itu dan ramai juga yang berdarah kakinya, tetapi mereka tidak peduli dan tidak pula hairan.

Sehinggalah satu hari, seorang lelaki berkulit putih bermata biru datang dan ternampak kawasan Bukit Larut. "Wow.... banyak sungguh bijih timah di sini!", kata mat salleh itu dengan slang orang putehnya. Baru diberitakan kepada semua orang bahawa benda yang selalu terpijak-terpijak tu adalah sejenis bahan yang berharga dan bernilai.

Maka sejak itulah Bukit Larut dan Long Jaafar menjadi sinonim dengan perlombongan bijih timah. Kalau tipu Cikgu Fizik saya, tipu lah saya :)
Sesuatu yang mungkin bernilai tidak akan nampak bernilai tanpa melalui penglihatan orang yang berilmu. Melalui orang yang berilmu dan berakal, sampah dan tin kosong boleh bertukar menjadi barang yang bernilai. Tanpa ilmu, bertan-bertan berlian mungkin dianggap sebagai batu biasa sahaja.

Cerita lain pula, semasa kami di belajar dahulu, terdapat seorang pesakit kanak-kanak yang mengalami sakit jantung berlubang. Kami akan memeriksa dengan menggunakan stetoskop, sejenis alat yang diletakkan dekat telinga pada satu hujung dan ditekap di dada pada satu hujung lagi untuk mengesan bunyi abnormal pada jantung dan paru-paru.

Ada di antara kami yang tidak dapat menangkap bunyi deruan jantung tersebut untuk dikaitkan dengan abnormaliti jantung dan membuat diagnosis (saya juga tak terkecuali). Ada yang menyalahkan bahawa stetoskop itu yang kurang berkualiti. Malah ada yang tiba-tiba sahaja mengaku mempunyai masalah pendengaran.

Professor berkata, "It is not the ear, but what is between the ear". Ia bukanlah disebabkan oleh telinga, tetapi apa yang berada di antara dua telinga itu.

Yang berada di antara dua telinga tak lain dan tak bukan ialah otak atau akal.

Apa yang kita tahu tentang alam dan dunia ini adalah kerana kita pernah terjumpa dan belajar tentang perkara itu. Kita mengatakan bahawa buah oren itu berwarna jingga kerana kita pernah diberitahu bahawa buah oren itu berwarna jingga oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kita.

Oleh itu pengalaman dan pengetahuan yang disimpan di dalam otak dan akal adalah bekalan untuk kita meneruskan hidup yang serba mencabar ini. Tetapi perlu kita ingat bahawa akal manusia adalah terbatas. Kita boleh membuat pola logik dan mantik tertentu berdasarkan satu isu atau masalah, tetapi penyelesaiannya boleh jadi sesuatu yang pelbagai.

Oleh itu, kita sama perlu ingat-mengingati. Jangan mendabik dada di atas kepandaian akal semata-mata kerana akal itu dibatasi dengan ruang lingkup apa yang pernah kita belajar dan lalui sahaja. Allah telah menurunkan panduannya di dalam kitabnya dan model kehidupan di dalam bentuk kehidupan para rasul. Maka, panduan seperti ini adalah ubat kepada akal-akal yang sesat dan liar.

Wallahu Alam

No comments: